Monday, December 10, 2007

MUQADDIMAH SENI KHAT


Alhamdulillah, bersyukur saya kehadrat Allah swt kerana di beri kesempatan dalam menjayakan hasil pengetahuan dan pembelajaran berkenaan dengan seni islam, atas usaha untuk memperkenalkan SENI KHAT kepada sahabat-sahabat semua melalui blogspot ini. Moga sahabat-sahabat semua dapat mengambil apa yang saya ingin kongsikan bersama.


ISLAM tidak pernah menghalang umatnya tertarik dengan keindahan, malah mengiktiraf keindahan dan kesempurnaan itu sebagai satu tuntutan agama sebagaimana hadis bermaksud: “Allah itu cantik dan menyukai kecantikan dalam segala hal.” ( Bukhari dan Muslim).

Bermula dengan turunnya ayat suci al-Quran kepada baginda Rasulullah s.a.w, masyarakat Arab yang petah bersyair serta berpuisi, menggunakan kepandaian yang dikurniakan mencipta tulisan berseni atau kaligrafi sebagai tinggalan tamadun Islam untuk ditatap generasi seterusnya.

Pensyarah pelawat Muzium Kesenian Islam Malaysia (IAMM), Profesor Dr Heba Barakat, berkata sejarah kaligrafi atau dalam bahasa Yunaninya, kalious, dikatakan bermula sejak kurun kelapan apabila masyarakat Arab menghasilkan tulisan bagi menunjukkan ketinggian martabat kabilah mereka.

Menurutnya, adalah menjadi satu kebanggaan bagi mereka apabila dapat menghasilkan seni ukiran yang indah dan halus untuk ditunjukkan kepada pihak lawan, apatah lagi apabila digabungkan dengan kekuatan kehebatan kabilah mereka sewaktu di medan perang.

“Ketinggian kabilah Arab pada zaman dulu diukur pada kehebatan mereka sewaktu berperang, bersyair serta tulisan yang dihasilkan. Semakin tinggi kreativiti mereka, semakin tinggi sanjungan yang diterima.

“Kebanyakan hasil lakaran yang dicipta berdasarkan suasana pada masa itu seperti berlatar belakangkan peperangan antara kabilah. Mereka melakarkan kaligrafi sebagai cara untuk menunjukkan kekuatan mereka dari segi emosi dengan merujuk pada ayat al-Quran yang menceritakan mengenai sebab dan akibat berlakunya peperangan itu.

“Ia mempunyai simbolik tersendiri kerana bukan semata-mata menunjukkan kekuatan dalam peperangan tapi juga dalam menghasilkan sesuatu yang boleh menaikkan martabat dan semangat kaum mereka yang pergi berperang untuk mencari kemenangan,” katanya.

Penyebaran Islam ke seluruh pelosok dunia oleh pedagang Arab menyebabkan tulisan kaligrafi turut berkembang sama ada melalui dakwah, penaklukan mahupun perdagangan.

Pertembungan antara dua budaya menyaksikan tulisan kaligrafi mengalami corak perubahan dalam bentuk, warna mahupun tulisan namun paksi asasnya masih pada ayat al-Quran. “Sejajar dengan perkembangan Islam, tulisan kaligrafi mengalami perubahan mengikut kesesuaian tempat dan budaya masyarakat, namun masih gunakan ayat al-Quran.

“Jika dulu gaya tulisan yang digunakan setiap kabilah adalah sama dari segi teknik lakaran, penyebaran Islam menyebabkan gaya tulisan turut berubah. Malah, masyarakat berkenaan membentuk gaya tulisan tersendiri agar mudah difahami,” katanya, sambil menambah, kaligrafi Islam adalah kaligrafi terkenal di dunia kerana dihasilkan mengikut empat mekanisme kehidupan iaitu api, air, angin dan udara.

“Itulah simboliknya kaligrafi khat Islam kerana ia dihasilkan dengan gabungan empat perkara berkenaan sehingga menghasilkan tulisan yang indah.

“Kehalusan ukiran dan ayat yang dilakarkan begitu terserlah kerana dihasilkan dengan penuh rasa tawaduk terhadap Allah, sesuai untuk memberi penghormatan pada ayat al-Quran,” katanya.

Kaligrafi ‘thuloth’ (satu pertiga) digunakan di Maghribi bermaksud, keseimbangan seperti bahagian mata di wajah, ‘nastlq’( air yang mengalir) di Iran bermaksud kesinambungan huruf antara perkataan akhir dan awal, ‘sini’ digunakan masyarakat negara China dan ‘Psudu’ ( huruf jawi yang palsu) yang digunakan masyarakat Eropah.

“Masyarakat Eropah juga berminat tapi disebabkan mereka tak pandai menulis huruf jawi, mereka cipta satu tulisan yang menyerupai bentuk tulisan asal, tapi hanya difahami oleh mereka. Kebanyakannya berbentuk puisi atau syair yang menggambarkan suasana kehidupan mereka.

“Hasil yang dilakarkan tak boleh dianggap sebagai kaligrafi Islam kerana tak bersandarkan pada ayat Quran, namun diterima dalam komuniti dunia hari ini atas semangat ukhwah,” katanya.

1 comments:

Opiebamad said...

nice page..., pndi ko make up..., tp kalo ko touch up lg..., ak sarankn o g kt lmn web i luv islam, copy r link2 yg ad kt sn..., add YouTubeIslam, pas2 amek video creation of adam....gerenti gempak r blog ko....