Sunday, January 20, 2008

PETUA DAN RAHSIA


Di Sebalik Keindahan Seni Khat...

ALAM diciptakan penuh dengan rahsia yang menakjubkan. Bumi di angkasa raya umpama kuman di tengah samudera yang amat luas. Ilmu mengenai rahsia alam membantu manusia menguasai dan memanfaatkan alam untuk keharmonian hidupnya. Ia juga menyedarkan bahawa ilmu manusia amat terbatas. Di sebalik yang tersurat pasti ada yang tersirat. Di sebalik keindahan tampak, terdapat rahsia dan petua yang menyerlahkan keindahan sesuatu karya seni khat.

Hikmah seni khat ialah pemahaman mengenai selok belok petua dan rahsia-rahsia halus seni ini. Memahami ilmu yang tersirat ini adalah kebijaksanaan hikmah yang menjadi inti kepada sesuatu ilmu pengetahuan.

"Dia memberi hikmah kepada sesiapa yang Dia Kehendaki. Sesiapa yang diberikan al-Hikmah sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak."
(Al-Baqarah:269).

"Rasulullah s.a.w. juga menyatakan bahawa hikmah adalah permata yang hilang setiap mukmin yang perlu dicari walau di mana sahaja. Semakin mengerti seseorang tentang rahsia ilmu, semakin mendalam kecintaannya kepada perkara yang mulia dan tinggi."


Ia juga akan menyedarkan kita bahawa seni khat sebenarnya tidak sesukar yang disangka. Ia juga membantu meningkatkan kemahiran dan meringkaskan proses pembelajaran khat. Dengan ilmu sesuatu karya bertambah mantap, hidup dan memindahkan makna ke hati yang memandangnya. Petua dan rahsia ini dipelihara dan diwariskan kepada satu generasi ke generasi berikutnya.

Seni adalah kepandaian. Ada kalanya kepandaian ahli khat seperti trick ahli silap mata. Pada huruf ada petua dan rahsia. Tahukah kita bahawa huruf-huruf mempunyai ibunya? Ibu huruf bermaksud bentuk-bentuk asas yang daripadanya boleh melahirkan bentuk huruf yang lain.

Teknik ini pernah dipopularkan oleh Muhammad Hasyim al-Baghdadi, khattat Baghdad yang terkenal. Ibu-ibu kepada huruf-huruf tunggal adalah (alif, ba, jim, dal, ra, sin, shad dan nun). Sebagai contoh, daripada huruf alif boleh dilahirkan huruf kaf dan lam. Daripada huruf ba pula dilahirkan ta, sa dan fa. Begitulah seterusnya bagi ibu huruf yang lain.

Huruf-huruf sambungan pula boleh dipecahkan pula kepada lebih seribu bentuk. Namun hakikatnya bentuk-bentuk ini terangkum dalam 30 bentuk sambungan sahaja. Inilah satu keajaiban seni pembelajaran huruf khat. Pemahaman ini mengukuhkan lagi latihan huruf satu-persatu. Hanya dengan latihan tulisan seseorang akan mencapai tahap kecemerlangan.

Jika kita dapat memperaktikkannya bersama, insyaAllah ilmu seni khat ini akan dapat kita kuasainya dengan baik dan secara jelasnya ia mempunyai seni yang halus pada setiap hasil tulisan kita atau sebagainya. Semoga dapat terus bersama seni khat dan selamat mencuba.

0 comments: