Monday, January 28, 2008

SENI KHAT NASAKH & SEJARAH


SENI KHAT NASAKH

Seni Khat mempunyai kedudukannya yang tersendiri bagi masyarakat Islam dan tamadunnya. Bermula dari turunnya wahyu yang pertama kepada Nabi Muhammad S.A.W, masyarakat Islam mula memberi perhatian yang khusus kepada bacaan dan tulisan. Tulisan kemudiannya berkembang dari satu keadaan kepada keadaan yang lebih baik; bukan sahaja boleh dibaca tetapi lebih jelas dan kemas, bersistematik bahkan mampu menarik perhatian manusia lantaran keindahan gaya serta lengkokan bentuk huruf-hurufnya. Seni Khat telah memberikan sumbangan yang besar kepada tamadun Islam secara keseluruhannya. Ia menjadi mangkin perkembangan ilmu naqli dan akli, ilmu keduniaan dan keakhiratan. Peranan Seni Khat yang teragung ialah apabila ia digunakan untuk menulis wahyu Allah bagi tatapan seluruh umat Islam, yang menjadikannya sebagai satu cabang seni dan ilmu yang tidak dapat dipisahkan dari al-Qur'an itu sendiri. Khat Nasakh telah menjadi pilihan utama dalam penulisan naskhah al-Qur'an di dalam dunia Islam, walaupun di sana terdapat pelbagai jenis gaya Khat sebelum dan selepas kewujudannya. Kelembutan, kejelasan serta keindahan khat ini telah mampu menarik perhatian masyarakat Islam lantas mengambil alih peranan penulisan al-Qur'an yang selama ini dipelopori oleh gaya Kufi.

Sejarah Khat Nasakh

Khat Nasakh dikatakan sebagai seni yang berasal dan berkembang dari tulisan Arab asli. Ia bermula dari asal Khat Arami, Nabati, kemudian dikenali sebagai Khat Hijazi sebelum kebangkitan dakwah Nabi Muhammad S.A.W. (Ibrahim Damrah, 1987) Tulisan ini melalui proses pengindahannya secara berperingkat-peringkat. Pada kurun ketiga dan keempat Hijrah, seorang menteri dari kerajaan Abbasiah - Ali bin Muqlah (272-328H) bersama saudaranya Abdullah, telah memperhaluskan tulisan ini dan mencipta satu kaedah yang dikenali kini sebagai Kaedah Penulisan Khat Nasakh. Ibnu Muqlah sendiri pada asalnya menamakan khatnya ini sebagai al-Badi' tetapi dikenali oleh ramai sebagai Nasakh, mungkin lantaran peranan yang dimainkan oleh khat ini. Ia menjadi terkenal terutamanya pada kurun kelima.(Maarof Zuraiq, 1985). Khat ini terus diminati dan mula dipelajari secara meluas. Semasa pemerintahan Atabikah (545 H) khat ini seterusnya melalui satu proses yang dikatakan sebagai proses pengindahan menyeluruh. Lantaran sumbangan Atabik tersebut, ada yang menggelar khat ini sebagai 'Khat Nasakh Atabik'.
Atabikah telah memainkan peranan yang penting dalam memartabatkan Khat Nasakh Di zaman ini selain melengkapkan keindahannya, mereka dikatakan sebagai yang bertanggungjawab menggantikan Khat Kufi kepada Khat Nasakh dalam penulisan al-Qur'an. Lebih dari itu, ia bukan sahaja digunakan dalam penulisan al-Qur'an, bahkan telah tersebar di timur dan barat dunia Islam, digunakan untuk pelbagai peranan dan di atas pelabagi media, menjadikan Khat Kufi mula dilupai atau kurang diminati.

0 comments: