Saturday, December 22, 2007

CARA BERKESAN


Bagaimanakah cara untuk mempelajari Khat dengan berkesan?

Cara yang berkesan:

Belajar di bawah pengawasan dan bimbingan guru yang terlatih dan berpengalaman dengan asas pelajaran penulisan seperti kedudukan yang betul, cara memegang kalam, kaedah yang betul mengasah kalam dan memotong mata kalam yang sesuai bagi jenis khat, cara meletakkan mata kalam di atas kertas, teknik meletakkan bekas dakwat dan menerangkan cara meletakkan span di dalamnya sehingga mencelup kalam khat itu dakwat setakat yang dikehendaki.

Latihan yang berterusan mengikut kaedah penulisan yang muktabar.

Merujuk buku atau hasil karya penulis-penulis yang masyhur seperti al-khatat Hasyim Muhammad al-Baghdadi yang menjadi rujukan peminat-peminat khat di Asia dan Eropah.

Meniru atau menekap tulisan penulis-penulis yang berpengalaman dengan tujuan memahirkan penulisan.


Apakah kepentingan mempelajari Seni Khat?

Kepentingan mempelajari khat terbahagi kepada 2.

kepentingan kepada individu dan kepentingan kepada masyarakat.

Kepentingan kepada individu:

Khat merupakan salah satu wasilah perhubungan kemanusian dan merapatkan hubungan antara manusia bagi merealisasikan urusan kehidupan dengan sempurna bagi jalan penulisan dan khat itu sendiri tiang kepada penulisan.

Khat juga merupakan wasilah dalam menghasilkan harta benda dinisbahkan kepada seni khat yang halus dan tinggi dengan sebab kepakaran penulisnya.

Bagi khat kepentingan yang khusus adalah menyintainya bagi orang yang merasai dengan perasaan kejiwaan yang halus.


Kepentingan pada masyarakat:

• Khat itu ditulis dengannya pelajaran, ilmu pengetahuan, akhbar dan majalah dan merupakan wasilah iklan seperti televisyen dan sebagainya.

• Khat itu diwujudkan pada lukisan-lukisan kesenian, papan tanda iklan yang bersifat dakwah dan masyarakat boleh menghayati dan mempelajari kesenian khat itu di setiap tempat seperti di rumah, di jalan-jalan dan di sekolah-sekolah.

• Khat itu wasilah perpindahan ilmu turas dan ilmu pengetahuan dan terbukti kitab-kitab itu dengan dihiasi dengan kulit yang indah dengan tulis yang direka pelbagai jenis semenjak dahulu yang menyimpan di dalamnya manuskrip dan karangan penulis-penulis terdahulu.


Apakah persediaan yang perlu ada bagi setiap pelajar yang ingin mempelajari Seni Khat?

Persediaan yang perlu ada bagi mereka yang ingin mempelajari seni ini boleh kita ketegorikan kepada 2.

Persediaan fizikal dan Persediaan mental.

Persediaan fizikal.

Tubuh badan yang sihat dan anggota yang sempurna. Namun anugerah yang di kurniakan Tuhan tidak sebagaimana orang lain atau sempurna ianya tidak menjadi halangan bagi mereka yang bersungguh-sungguh berminat untuk mnguasai bidang ini.


Sebuah kisah penulis wanita, “Bintu Khaddan Wardi”. Sebagaimana yang telah dinaskan oleh Ishak dalam kitabnya tentang cerita pada zaman raja alKamil pada bulan Syawal 624h telah datang dari Iskandariah seorang perempuan yang tidak menpunyai kedua belah tangan hingga ke siku. Beliau melakukan segala kerja sebagaimana perempuan-perenpuan lain dengan menggunakan kaki. Seorang menteri telah menemuinya dan membawa perempuan tersebut dakwat kalam dan pisau. Dakwat itu diambil oleh perempuan tersebut kaki kirinya, kemudian diambil kalam dan pisau diraut, diasah, dibelah dan dipotong melintang kalam tersebut. Seterusnya diambil kertas dan memegangnya dengan kaki kiri dan menulis dengan kaki kanan dengan lebih baik dan cantik dari apa yang ditulis oleh penulis dengan tangan kanan mereka. Maha Suci Allah yang menjadikan sesuatu itu tidak sia-sia. Semoga cerita ini menjadi pendorong dan semangat kepada mereka yang betul-betul berminat untuk berkenalan secara lebih luas dan seterusnya mendalami bidang Seni Khat ini.


Persediaan mental.

• Minat yang mendalam (bukan hangat-hangat tahi ayam)

Emosi yang tenang

Ketekunan yang jitu

Kesungguhan yang mantap

Daya imaginasi yang tinggi

Daya cipta dan tiru yang halus

Melatih diri untuk menjadi seorang yang mempunyai jiwa yang tinggi, halus perasaan yang tajam bertenang dan bekerja dalam situasi yang jauh dari jiwa yang gelisah dan gopoh serta bersikap 'rileks', ini juga dapat faktor membantu kepada penulisan yang baik, cermat dan halus. Selain faktor bimbingan guru yang berpengalaman dan mahir.


Apakah halatuju mempelajari Seni Khat ini?

Melihat kepada qadiah di Malaysia dan masyarakat umat Islam itu sendiri khususnya dan masyarakat dunia amnya:

Memartabatkan dan membudayakan tulisan al-Quran

Mengembalikan kegemilangan tamadun seni Islam

Memperjuangkan tulisan jawi di Malaysia kearah melahirkan generasi Al-Quran yang hidup roh Islam dan mengenal tulisan jawi.

Menghidupkan tulisan jawi di seluruh peringkat sekolah dan institut pengajian tinggi sebagai satu mata pelajaran atau ko kurikulum yang bergerak aktif dan sistematik

Menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang banyak melahirkan penulis-penulis yang berwibawa melalui seminar-seminar seperti yang telah dijalankan sebelum ini, kegiatan di bengkel dalam menghasilkan karya-karya yang bermutu. Muzium Kesenian Islam dan Yayasan Restu sendiri mempunyai bengkel yang khusus dalam melahirkan penulis khat yang mempunyai daya imaginasi dan kreatif yang tinggi

Mengadakan dan menganjurkan pertandingan-pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sebagaimana negara Turki yang menganjurkan pertandingan khat kebangsaan disana setiap 3 kali setahun. Bertujuan untuk melahirkan penulis bertaraf antarabangsa dan berpengalaman.


Apakah pandangan anda tentang masa depan Seni Khat?

Cerah, berdasarkan faktor positif yang memberitahu perkembangan seni khat di tanahair seperti:

Penubuhan Persatuan Seni Khat kebanggaan yang menjadi tulang belakang penggerak yang memperkenalkan dan menjalankan aktiviti-aktiviti kegiatan seni khat di Malaysia, Pertandingan khat kebangsaan yang merupakan salah satu wasilah memperkenalkan seni khat itu sendiri dan melahirkan lebih ramai penulis tanahair dan mencungkil bakat penulis-penulis muda.

Wujudnya mata pelajaran khat di peringkat sekolah-sekolah menengah agama, menengah arab dan kegiatan-kegiatan persatuan seni khat di institut pengajian tinggi secara serius atau tidak secara langsung antara lain negeri Johor sendiri banyak menganjurkan pertandingan-pertandingan khat sebagai galakan kepada penulis-penulis di tanahair disamping tawaran hadiah lumayan bagi menarik lagi minat para peserata. Kelantan juga mempunyai potensi yang tinggi untuk memajukan bidang ini memandangkan ramai tenaga yang berkebolehan dan berpengalaman dalam bidang ini.

Ramai di kalangan pelajar Malaysia di Mesir mula menaruh minat dalam bidang ini dan mengambil perhatian yang serius dan inisiatif dengan mengikut pengajiaan di Peringkat Diploma selama 4 tahun & pelajar lulusan Diploma boleh menyambung lagi pengajian mereka hingga peringkat Diploma Lanjutan (takhasus) selama 2 tahun lagi di Institut Seni Khat Arab di Mesir. Selain itu, Yayasan Restu di Kompleks Taman Seni Islam Selangor (bersebelahan Masjid Shah Alam) juga menawarkan pengajian Seni Khat


Tujuan

Memelihara al-Quran dengan tulisan.

Membantu meninggikan syiar Islam melalui penyebaran wahyu Allah dengan tulisan khat.

Memelihara dan mencatat ilmu-ilmu Islam dan khazanah warisan lampau yang menjadi rujukan kaum muslimin sejagat.

Mengukuhkan perpaduan umat Islam dan negara Islam.

Saturday, December 15, 2007

MATA PEN


Cara-cara untuk meraut mata handam ( mata pen ) agar serasi dengan tuannya.

1. Batang kayu perlulah yang tua, keras dan cukup kering supaya pen yang hendak anda gunakan lebih sedap dan tahan lama.

2. Potong batang pen ( buluh, resam, kayu, atau sebagainya ) sepanjang 1 jengkal atau mengikut pada tangan anda masing-masing, pastikan berhati-hati semasa memotong batang pen.

3. Dapatkan ukurlilit atau saiz bagi setiap batang pen yang hendak di potong bagi menentukan saiz mata pen semasa hendak diraut.

4. Jarak 2.5cm hingga 3.0cm dari hadapan mata pen adalah ukuran yg sesuai utk meraut dan mengasah mata pen tersebut.

5. Gunakan mata pisau yang tajam ( pisau cutter )

6. Gunakan ibu jari kiri utk menolak belakang pisau ketika proses meraut mata pen sedang di lakukan.

7. Pastikan potong mata handam ( mata pen ) dengan sekali tekan sahaja ( jangan di lakukan dengan cara berhenti-henti, sekali lalu sahaja dan seterusnya ).

8. Kecondongan mata pen yang sesuai ialah mengikut condong ukuran jari telunjuk dan jari hantu anda bukan mengikut jari atau pen kawan anda.

9. sebelum memotong, pastikan ukuran mata pen dahulu dan pilih batang handam ( batang pen yang sesuai dengan saiz mata pen yang anda inginkan ).

10. Ketika kerja memotong kecondongan mata pen, pastikan jangan lupa menggunakan alas atau lapik dgn kayu yang rata.

11. Selepas siap memotong mata pen, asah mata pen tersebut dengan kertas pasir yang halus, kesesuain kertas pasir diantara 900 hingga 1000 ( kod halus kertas pasir ). Sekiranya anda ingin mata pen lebih licin, anda boleh mengasahnya di atas permukaan cermin.

12. Sambil memegang batang pen ( seperti sedang menulis ) asahkan kekiri dan kekanan 8 kali kemudian kebawah 3 kali ( seolah-olah anda sedang menulis huruf hijaiyah contoh huruf alif dan huruf ba ).

13. Penjagaan mata pen perlulah di ambil perhatian bagi mengelakkan mata pen rosak, lapkan mata pen selepas di gunakan, simpan mata pen seperti anda menyimpan peralatan yang anda sayang bagi mengelakkan kerosakan mata pen.


Selamat mencuba dan selamat menulis khat...mesti jadi.. klu tak jadi jangan salahkan batang pen ya!

Monday, December 10, 2007

MUQADDIMAH SENI KHAT


Alhamdulillah, bersyukur saya kehadrat Allah swt kerana di beri kesempatan dalam menjayakan hasil pengetahuan dan pembelajaran berkenaan dengan seni islam, atas usaha untuk memperkenalkan SENI KHAT kepada sahabat-sahabat semua melalui blogspot ini. Moga sahabat-sahabat semua dapat mengambil apa yang saya ingin kongsikan bersama.


ISLAM tidak pernah menghalang umatnya tertarik dengan keindahan, malah mengiktiraf keindahan dan kesempurnaan itu sebagai satu tuntutan agama sebagaimana hadis bermaksud: “Allah itu cantik dan menyukai kecantikan dalam segala hal.” ( Bukhari dan Muslim).

Bermula dengan turunnya ayat suci al-Quran kepada baginda Rasulullah s.a.w, masyarakat Arab yang petah bersyair serta berpuisi, menggunakan kepandaian yang dikurniakan mencipta tulisan berseni atau kaligrafi sebagai tinggalan tamadun Islam untuk ditatap generasi seterusnya.

Pensyarah pelawat Muzium Kesenian Islam Malaysia (IAMM), Profesor Dr Heba Barakat, berkata sejarah kaligrafi atau dalam bahasa Yunaninya, kalious, dikatakan bermula sejak kurun kelapan apabila masyarakat Arab menghasilkan tulisan bagi menunjukkan ketinggian martabat kabilah mereka.

Menurutnya, adalah menjadi satu kebanggaan bagi mereka apabila dapat menghasilkan seni ukiran yang indah dan halus untuk ditunjukkan kepada pihak lawan, apatah lagi apabila digabungkan dengan kekuatan kehebatan kabilah mereka sewaktu di medan perang.

“Ketinggian kabilah Arab pada zaman dulu diukur pada kehebatan mereka sewaktu berperang, bersyair serta tulisan yang dihasilkan. Semakin tinggi kreativiti mereka, semakin tinggi sanjungan yang diterima.

“Kebanyakan hasil lakaran yang dicipta berdasarkan suasana pada masa itu seperti berlatar belakangkan peperangan antara kabilah. Mereka melakarkan kaligrafi sebagai cara untuk menunjukkan kekuatan mereka dari segi emosi dengan merujuk pada ayat al-Quran yang menceritakan mengenai sebab dan akibat berlakunya peperangan itu.

“Ia mempunyai simbolik tersendiri kerana bukan semata-mata menunjukkan kekuatan dalam peperangan tapi juga dalam menghasilkan sesuatu yang boleh menaikkan martabat dan semangat kaum mereka yang pergi berperang untuk mencari kemenangan,” katanya.

Penyebaran Islam ke seluruh pelosok dunia oleh pedagang Arab menyebabkan tulisan kaligrafi turut berkembang sama ada melalui dakwah, penaklukan mahupun perdagangan.

Pertembungan antara dua budaya menyaksikan tulisan kaligrafi mengalami corak perubahan dalam bentuk, warna mahupun tulisan namun paksi asasnya masih pada ayat al-Quran. “Sejajar dengan perkembangan Islam, tulisan kaligrafi mengalami perubahan mengikut kesesuaian tempat dan budaya masyarakat, namun masih gunakan ayat al-Quran.

“Jika dulu gaya tulisan yang digunakan setiap kabilah adalah sama dari segi teknik lakaran, penyebaran Islam menyebabkan gaya tulisan turut berubah. Malah, masyarakat berkenaan membentuk gaya tulisan tersendiri agar mudah difahami,” katanya, sambil menambah, kaligrafi Islam adalah kaligrafi terkenal di dunia kerana dihasilkan mengikut empat mekanisme kehidupan iaitu api, air, angin dan udara.

“Itulah simboliknya kaligrafi khat Islam kerana ia dihasilkan dengan gabungan empat perkara berkenaan sehingga menghasilkan tulisan yang indah.

“Kehalusan ukiran dan ayat yang dilakarkan begitu terserlah kerana dihasilkan dengan penuh rasa tawaduk terhadap Allah, sesuai untuk memberi penghormatan pada ayat al-Quran,” katanya.

Kaligrafi ‘thuloth’ (satu pertiga) digunakan di Maghribi bermaksud, keseimbangan seperti bahagian mata di wajah, ‘nastlq’( air yang mengalir) di Iran bermaksud kesinambungan huruf antara perkataan akhir dan awal, ‘sini’ digunakan masyarakat negara China dan ‘Psudu’ ( huruf jawi yang palsu) yang digunakan masyarakat Eropah.

“Masyarakat Eropah juga berminat tapi disebabkan mereka tak pandai menulis huruf jawi, mereka cipta satu tulisan yang menyerupai bentuk tulisan asal, tapi hanya difahami oleh mereka. Kebanyakannya berbentuk puisi atau syair yang menggambarkan suasana kehidupan mereka.

“Hasil yang dilakarkan tak boleh dianggap sebagai kaligrafi Islam kerana tak bersandarkan pada ayat Quran, namun diterima dalam komuniti dunia hari ini atas semangat ukhwah,” katanya.

Saturday, December 8, 2007

Asslamualaikum.......


Assalamualaikum semua, hari ni hari kedua saya melayari blog saya, semalam baru je daftar, yang sedihnya huhuhu saya di permainkan oleh kawan saya dalam usaha solek menyolek blog baru ni,tapi tak pe, kawan saya tu memang suka bergurau, nak tahu sape???? haaaaa, kalau sahabat nak tahu siapa kawan saya tu, layarilah blogspot dia, www.glaxonil786.blogspot.com... nanti sahabat semua akan tahu siapa dia.

Kepada sahabat sekalian, saya harap sahabat semua berada di dalam keadaan sihat2 dan di rahmati Allah swt... rasa segan pulak dengan kawan2 yang sudah lama ada blogspot ni, hati rasa lucu sahaja bila melihat diri ingin ada blog macam kawan2, tapikan... bila difikir2kan balik, buat apa nak rasa malu, sedangkan kita di jadikan di muka bumi ini pun adalah untuk mencari ilmu dan berdakwah ke jalan Allah swt..... Jadi,kita tak perlu rasa malu dengan adanya kemudahan untuk kita mencari ilmu dan menyampaikannya,ilmu itu penting sangat sahabat bagi diri kita wal hal diri manusia itu sendiri, yang paling penting sekali ialah ilmu agama,agar diri kita semua dpat mersakan kesyukuran kehambahan kepada Allah swt dengan ketaqwaan, dan yang paling jelas sekali Nabi kita (Muhammad saw) pernah bersabda....

"Barangsiapa yang Allah ingin jadikan dia seorang yang baik, maka Allah akan menjadikan dia dari kalangan orang yang bijak ilmu agama"

Allah swt telah mengutuskan rasul sebagai utusan (Muhammad saw) sebagai pembimbing ummah ke jalan yang lurus....

firman Allah swt di dalam surah yaasin....

"yaa siin, demi Al-Quran yang mengandungi hikmah-hikmah dan kebenaran yang tetap kukuh, sesungguhnya engkau (wahai Muhammad saw adalah seorang rasul) dari rasul-rasul yang telah di utus oleh Allah swt, yang tetap diatas jalan yang lurus (agama islam), Al-Quran itu di turunkan oleh Allah swt Yang Maha Kuasa lagi Maha Mengasihani, supaya engkau (Muhammad saw) memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk neneknya telah lama tidak di berikan peringatan dan amaran; sebab itulah mereka lalai, demi sesungguhnya telah tetap hukuman seksa atas kebanyakan mereka (kerana mereka tidak mahu beriman)"

(surah yaasin ayat 1-8)


MARI MENUNTUT ILMU


Marilah belajar dengan penuh kesungguhan
dengan segala cara yang kau terfikirkan
semoga hatimu puas tidak tersesalkan
walau yang lain kecewa tidak bersetujuan.

Marilah usahakan segala kaedah dan jalan
redahi onak, duri, ranjau dan cabaran
biar luka parah dan sakit bertahankan
sekalipun yang lain rasa tak berkeperluan.

Marilah menujunya dengan segala kelapangan
dalam hatimu, agar kau menerimanya dengan
segala jiwamu, bahawa inilah rupanya jalan
ditunjukkan dirimu, dengan inti keikhlasan
pada Tuhanmu.

Marilah buangkan ragu-ragu dan dzan
pada diri, bimbang akan tumpas kekecewaan
di akhir nanti, bahawa yakinkan percayakan
tak berbelah bagi, walau yang lain bertanyaan;
apa yang kaubuat ini?

Marilah lupakan kebimbangan tanamkan
keyakinan, buangkan sifat segan
tanyakan segala kekeliruan, hindarkan
bangga diri, tolak pendek ketamakan
kejar dalam kepuasan.

Marilah belajar cantum hubungkan
hujung buaian dengan pangkal kuburan.


fikir-fikirkan ye, ilmu memang sangat penting bagi kita, peliharalah hidup kita dengan ilmu yang di perolehi selama ini, jika belum cukup, usaha dan cari, jangan lupa sampaikan, sampaikanlah walau satu ayat........ salam ukhwah dari saya yang pertama kali join dalam blogger....