Monday, January 28, 2008

SENI KHAT NASAKH & SEJARAH


SENI KHAT NASAKH

Seni Khat mempunyai kedudukannya yang tersendiri bagi masyarakat Islam dan tamadunnya. Bermula dari turunnya wahyu yang pertama kepada Nabi Muhammad S.A.W, masyarakat Islam mula memberi perhatian yang khusus kepada bacaan dan tulisan. Tulisan kemudiannya berkembang dari satu keadaan kepada keadaan yang lebih baik; bukan sahaja boleh dibaca tetapi lebih jelas dan kemas, bersistematik bahkan mampu menarik perhatian manusia lantaran keindahan gaya serta lengkokan bentuk huruf-hurufnya. Seni Khat telah memberikan sumbangan yang besar kepada tamadun Islam secara keseluruhannya. Ia menjadi mangkin perkembangan ilmu naqli dan akli, ilmu keduniaan dan keakhiratan. Peranan Seni Khat yang teragung ialah apabila ia digunakan untuk menulis wahyu Allah bagi tatapan seluruh umat Islam, yang menjadikannya sebagai satu cabang seni dan ilmu yang tidak dapat dipisahkan dari al-Qur'an itu sendiri. Khat Nasakh telah menjadi pilihan utama dalam penulisan naskhah al-Qur'an di dalam dunia Islam, walaupun di sana terdapat pelbagai jenis gaya Khat sebelum dan selepas kewujudannya. Kelembutan, kejelasan serta keindahan khat ini telah mampu menarik perhatian masyarakat Islam lantas mengambil alih peranan penulisan al-Qur'an yang selama ini dipelopori oleh gaya Kufi.

Sejarah Khat Nasakh

Khat Nasakh dikatakan sebagai seni yang berasal dan berkembang dari tulisan Arab asli. Ia bermula dari asal Khat Arami, Nabati, kemudian dikenali sebagai Khat Hijazi sebelum kebangkitan dakwah Nabi Muhammad S.A.W. (Ibrahim Damrah, 1987) Tulisan ini melalui proses pengindahannya secara berperingkat-peringkat. Pada kurun ketiga dan keempat Hijrah, seorang menteri dari kerajaan Abbasiah - Ali bin Muqlah (272-328H) bersama saudaranya Abdullah, telah memperhaluskan tulisan ini dan mencipta satu kaedah yang dikenali kini sebagai Kaedah Penulisan Khat Nasakh. Ibnu Muqlah sendiri pada asalnya menamakan khatnya ini sebagai al-Badi' tetapi dikenali oleh ramai sebagai Nasakh, mungkin lantaran peranan yang dimainkan oleh khat ini. Ia menjadi terkenal terutamanya pada kurun kelima.(Maarof Zuraiq, 1985). Khat ini terus diminati dan mula dipelajari secara meluas. Semasa pemerintahan Atabikah (545 H) khat ini seterusnya melalui satu proses yang dikatakan sebagai proses pengindahan menyeluruh. Lantaran sumbangan Atabik tersebut, ada yang menggelar khat ini sebagai 'Khat Nasakh Atabik'.
Atabikah telah memainkan peranan yang penting dalam memartabatkan Khat Nasakh Di zaman ini selain melengkapkan keindahannya, mereka dikatakan sebagai yang bertanggungjawab menggantikan Khat Kufi kepada Khat Nasakh dalam penulisan al-Qur'an. Lebih dari itu, ia bukan sahaja digunakan dalam penulisan al-Qur'an, bahkan telah tersebar di timur dan barat dunia Islam, digunakan untuk pelbagai peranan dan di atas pelabagi media, menjadikan Khat Kufi mula dilupai atau kurang diminati.

Sunday, January 20, 2008

PETUA DAN RAHSIA


Di Sebalik Keindahan Seni Khat...

ALAM diciptakan penuh dengan rahsia yang menakjubkan. Bumi di angkasa raya umpama kuman di tengah samudera yang amat luas. Ilmu mengenai rahsia alam membantu manusia menguasai dan memanfaatkan alam untuk keharmonian hidupnya. Ia juga menyedarkan bahawa ilmu manusia amat terbatas. Di sebalik yang tersurat pasti ada yang tersirat. Di sebalik keindahan tampak, terdapat rahsia dan petua yang menyerlahkan keindahan sesuatu karya seni khat.

Hikmah seni khat ialah pemahaman mengenai selok belok petua dan rahsia-rahsia halus seni ini. Memahami ilmu yang tersirat ini adalah kebijaksanaan hikmah yang menjadi inti kepada sesuatu ilmu pengetahuan.

"Dia memberi hikmah kepada sesiapa yang Dia Kehendaki. Sesiapa yang diberikan al-Hikmah sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak."
(Al-Baqarah:269).

"Rasulullah s.a.w. juga menyatakan bahawa hikmah adalah permata yang hilang setiap mukmin yang perlu dicari walau di mana sahaja. Semakin mengerti seseorang tentang rahsia ilmu, semakin mendalam kecintaannya kepada perkara yang mulia dan tinggi."


Ia juga akan menyedarkan kita bahawa seni khat sebenarnya tidak sesukar yang disangka. Ia juga membantu meningkatkan kemahiran dan meringkaskan proses pembelajaran khat. Dengan ilmu sesuatu karya bertambah mantap, hidup dan memindahkan makna ke hati yang memandangnya. Petua dan rahsia ini dipelihara dan diwariskan kepada satu generasi ke generasi berikutnya.

Seni adalah kepandaian. Ada kalanya kepandaian ahli khat seperti trick ahli silap mata. Pada huruf ada petua dan rahsia. Tahukah kita bahawa huruf-huruf mempunyai ibunya? Ibu huruf bermaksud bentuk-bentuk asas yang daripadanya boleh melahirkan bentuk huruf yang lain.

Teknik ini pernah dipopularkan oleh Muhammad Hasyim al-Baghdadi, khattat Baghdad yang terkenal. Ibu-ibu kepada huruf-huruf tunggal adalah (alif, ba, jim, dal, ra, sin, shad dan nun). Sebagai contoh, daripada huruf alif boleh dilahirkan huruf kaf dan lam. Daripada huruf ba pula dilahirkan ta, sa dan fa. Begitulah seterusnya bagi ibu huruf yang lain.

Huruf-huruf sambungan pula boleh dipecahkan pula kepada lebih seribu bentuk. Namun hakikatnya bentuk-bentuk ini terangkum dalam 30 bentuk sambungan sahaja. Inilah satu keajaiban seni pembelajaran huruf khat. Pemahaman ini mengukuhkan lagi latihan huruf satu-persatu. Hanya dengan latihan tulisan seseorang akan mencapai tahap kecemerlangan.

Jika kita dapat memperaktikkannya bersama, insyaAllah ilmu seni khat ini akan dapat kita kuasainya dengan baik dan secara jelasnya ia mempunyai seni yang halus pada setiap hasil tulisan kita atau sebagainya. Semoga dapat terus bersama seni khat dan selamat mencuba.

Monday, January 14, 2008

Hashim Muhammad Al Baghdadi


Penulis Seni Khat termasyhur, Hashim Muhammad Al Baghdadi..di lahirkan di kota baghdad pada tahun 1917. Beliau mula mempelajari Kaligrafi Arab sejak dari zaman remaja beliaua lagi, dan beliau telah mendapat anugerah Diploma daripada Mulla 'Ali al-Fadli pada tahun 1943. Beliau menyambung pengajian beliau ke kaherah mesir, dan mendapat Diploma dengan kepujian dari Royal Institute of Calligraphy pada tahun 1944. Dalam tahun yang sama juga, beliau ditauliahkan sijil dari dua orang penulis seni khat terkenal, Sayyid Ibrahim dan Muhammad Husni. Pada tahun 1946, beliau menerbitkan sebuah buku gaya penulisan Seni Khat Al-Riqa'. Kemudian beliau melawat Turkey dan menunjukkan hasil-hasil kerja beliu kepada seorang Tokoh Seni Khat Terkenal, Musa Azmi..atau lebih dikenali sebagai Hamid al-Amidi, dimana beliau telah menganugerahkan dua anugerah kepada Hashim, pada 1950 dan 1952. Pada majlis anugerah yang kedua, Hamid al-amidi mengumumkan Hashim sebagai Penulis seni Khat Terbaik dalam dunia Islam dan beliau mengatakan kepada Hashim " Kesenian kaligrafi islam bermula di Dar-As Salaam (Baghdad) dan ia kembali bersamamu ke Dar-As-Salamm".
Gaya penulisan beliau lebih cenderung kepada gaya penulis klasik baghdad iaitu Yaqut al Musta'asimi dan gabungan dengan penulisan moden dari Ottoman School. Dan juga beliau dikenali sebagai antara penulis seni khat yang terbaik dalam gaya Seni Khat Thuluth. Pada tahun 1960, beliau dilantik sebagai pensyarah Kaligrafi Arab di Institute of Fine Art di Baghdad. Kemudian, beliau menjadi Ketua Bahagian Dekorasi Islam dan Kaligrafi Arab sehingga beliau menghembuskan nafas terakhir pada 1973. Dalam tahun 1962, beliau menerbitkan sebuah buku koleksi khat beliau yang bertajuk " Kaedah Penulisan Khat Arab". Sepanjang hidupnya, beliau hanya menganugerahkan satu diploma sahaja kepada muridnya, Abdul Ghani al-Ani.

Saturday, January 5, 2008

OBJEKTIF



Bismillahirrahmanirrahim…….

Alhamdulillah,syukur ana kehadrat Ilahi atas limpah dan kurnianya serta junjungan Nabi Muhammad SAW, dapat ana meneruskan lagi perjalanan untuk menyampaikan ilmu yang tidak seberapa ini, mudah-mudahan atas sokongan dari pihak sahabat-sahabat sendiri ana dapat berkongsi lebih lagi pengalaman bersama sahabat sekalian.

Kepada pengunjung blog ana dan peminat-peminat seni khat sekalian,tujuan ana membuat blog ini adalah bertujuan kerana ingin mengetengahkan asas-asas seni khat kepada sahabat-sahabat semua bagi mengelakkan seni khat ( penulisan Al Quran ) pupus di akhir zaman ini.

Objektif yang ingin ana sampaikan pada sahabat-sahabat semua adalah tentang cara dan kaedah-kaedah betul dalam bidang penulisan seni khat ini, dari mata pen bergerak kepada kaedah-kaedah huruf hijaiyyah seterusnya sambungan huruf sehinggalah bertemu dengan peringkat penghasilan karya.

Pada peringkat awal, ana bercadang ingin memperkenalkan kaedah penulisan seni khat Nasakh, sebelum ana masuk pada tutorial seni khat nasakh kepada sahabat-sahabat semua, ana akan cerita sejarah seni khat nasakh dan sebagainya sebelum sahabat-sahabat semua mengenali dan mempelajari seni khat nasakh ini atas sebab ana sekarang dalam fatrah imtihan. Ana akan cerita sikit tentang seni khat nasakh ini pada sahabat-sahabat semua.

"Dinamakan khat ini sebagai Khat Nasakh kerana tulisannya digunakan untuk menaskhahkan atau membukukan al-Qur’an serta pelbagai naskhah ilmiah yang lain sejak dari kurun pertama Hijrah lagi. Ia terus menjadi tulisan utama bahan-bahan ilmiah hingga ke hari ini samada di dalam akhbar, majalah, komputer dan sebagainya selain terus menjadi tulisan utama al-Qur’an.

Ada juga pendapat yang menjelaskan punca khat ini dinamakan sebagai Khat Nasakh ialah kerana peranannya menasakhkan yang bererti menghapuskan atau menggantikan penggunaan khat Kufi dalam penulisan wahyu Allah iaitu al-Qur’an. Setelah kemunculan khat Nasakh, khat Kufi tidak lagi digunakan untuk menulis al-Qur’an tetapi tempatnya telah diambil alih oleh Khat Nasakh.

Khat Nasakh dikatakan sebagai seni yang berasal dan berkembang dari tulisan Arab asli. Ia bermula dari asal Khat Arami, Nabati, kemudian dikenali sebagai Khat Hijazi. Tulisan ini melalui proses pembaikannya dalam beberapa peringkat. Pada kurun ketiga dan keempat Hijrah, seorang menteri dari kerajaan Abbasiah iaitu Ali bin Muqlah atau lebih dikenali dengan Ibnu Muqlah bersama saudaranya Abdullah, telah memperhaluskan tulisan ini dan mencipta satu kaedah yang dikenali kini sebagai Kaedah Penulisan Khat Nasakh. Ia menjadi terkenal terutamanya pada kurun kelima. Khat ini terus diminati dan mula dipelajari secara meluas. Semasa pemerintahan Atabikah khat ini seterusnya melalui satu proses yang dikatakan sebagai proses pengindahan menyeluruh.

Lantaran itu ada yang menggelar khat ini sebagai ‘Khat Nasakh Atabik’. Khat ini pada dasarnya lebih mudah daripada khat thuluth dan senang diajarkan kepada orang ramai, pelajar sekolah dan kanak–kanak sebagai asas untuk menulis khat atau jawi. Penggunaannya amat meluas sekali sehingga mesin menaip, komputer dan mesin cetak kebanyakannya menggunakan fon jenis Khat Nasakh. Ia sering digunakan dalam penulisan disebabkan sifatnya yang cantik dan mudah dibaca. Maka oleh sebab itulah Khat Nasakh amat praktikal digunakan untuk penyalinan mushaf al Quran, kitab-kitab, hadith, majalah, akhbar dan lain - lain lagi .

Pada kebiasaannya Khat Nasakh ditulis dengan saiz yang kecil dan tidak terlalu besar dengan kadar 1mm saiz pena."

Untuk tutorial seni khat Nasakh, insyaAllah ana akan menggunakan kaedah seni khat dari kaedah al Khatat Hashim Muhammad alBaghdadi ( kaedah yang masyhur di kalangan penulis asia ).